Okies..aku malas nk mengulas panjang..korg layan kan jela brite nih..aku amik dr utusan malaysia..arinih punyer...
Pernikahan mereka menutup spekulasi
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
AKHIL dan Waheeda mengharapkan perkahwinan mereka akan menutup segala spekulasi negatif terhadap mereka.
--------------------------------------------------------------------------------
TIADA angin, tiada ribut tiba-tiba industri hiburan tanah air 'dikejutkan' dengan berita pernikahan antara Akhil Hayy, 40, dan Waheeda, 30, yang berlangsung pagi Ahad lalu di Kuala Kubu Baru, Selangor.
Memang sebelum ini berita tentang perhubungan mereka telah mendapat liputan yang cukup meluas sehingga mereka dikatakan sering main tarik-tali saat ditanyakan tentang hubungan mereka.
Tidak cukup dengan itu, hubungan mereka yang penuh kontroversi itu juga
dikatakan menjadi punca kepada perceraian Akhil dengan bekas isterinya, Maizawati Zainal setelah 13 tahun melayari bahtera rumah tangga.
Sejak muncul sebagai penyanyi nasyid dan pendakwah bebas dua tahun lalu, nama Akhil sememangnya cukup panas dan bara itu bertambah apabila namanya dikaitkan dengan Waheeda.
Namun, Akhil tidak pernah menafikan bahawa dia mempunyai hubungan dengan penyanyi lagu Wassini itu kerana dia menegaskan berkali-kali bahawa hubungannya dengan Waheeda tidak lebih daripada seorang kawan.
Lantas, apabila diajukan kepada Akhil tentang pernikahannya bersama Waheeda yang berlangsung dalam serba sederhana pagi Ahad lalu, Akhil memberitahu semuanya sudah ditentukan oleh Allah SWT.
Malah, dia sendiri tidak pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan Waheeda biarpun mengakui dia rapat dengan wanita itu. Semuanya atas nama persahabatan.
Kata Akhil atau nama sebenarnya Abdul Akhil Hai selain itu juga, dia mahu mempercepatkan perkahwinan mereka sebelum menjelangnya Ramadan pada 22 Ogos ini.
Malah, berdasarkan perancangan awal, mereka sepatutnya berkahwin pada 21 Ogos. Namun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan tarikh 16 Ogos menjadi pilihan mereka.
"Alhamdulillah, apa yang saya harapkan dan rancang semuanya berjalan dengan lancar. Tiada apa yang saya mahukan melainkan segala kisah buruk tentang kami tidak lagi dijaja dan disebut-sebut.
"Apa yang berlaku semuanya sudah berlalu. Bermula detik saya berjabat tangan sebagai tanda ijab dan kabul itu, saya tekad untuk melayari kehidupan saya dengan tenang.
"Malah, saya mahu memulakan penghidupan yang baru bersama Waheeda dan anak-anak saya," katanya tenang sewaktu dihubungi Hits petang Ahad lalu.
Bukan itu sahaja, Akhil turut memberitahu sebaik sahaja Waheeda sah menjadi isterinya, ia menandakan bahawa penyanyi dan pelakon itu sudah tidak lagi menjadi seorang artis.
Akhil dan Waheeda atau nama sebenarnya, Nor Wahidah Abdul Wahab bernikah di Masjid Jamek Ar-Rahimah, di Kuala Kubu Baru dan dengan sekali lafaz sahaja, Waheeda sah menjadi milik Akhil.
Majlis serba sederhana itu dihadiri lebih daripada 200 orang tetamu termasuk ahli keluarga serta teman rapat kedua belah pihak.
Pasangan mempelai itu dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Hulu Selangor, Ustaz Zulkhairi Zaid yang juga kawan karib Akhil.
Ibu dan bapa Waheeda, Abdul Wahab Yusof dan Asri Othman selain ibu Akhil, Azizah Daud yang hadir memberikan restu untuk anak-anak mereka.
Bukan itu sahaja, anak pertama dan kedua Akhil iaitu Siti Numaisarah, 12 , dan Muhd. Sharif Hidayatullah, 11, turut hadir pada majlis itu meraikan perkahwinan kedua bapa mereka.
Waheeda menerima mas kahwin sebanyak RM80 dan senaskah al-Quran sebagai pengganti wang hantaran.
Jelas Akhil, kitab suci itu dijadikan sebagai wang hantaran adalah atas permintaan kedua ibu bapa Waheeda sendiri.
Akhil turut memberi tujuh dulang hantaran dan dibalas oleh pihak Waheeda dengan sembilan dulang.
Saat ditanya tentang majlis perkahwinan mereka yang diadakan secara mengejut dan sedikit tergesa-gesa itu, Akhil menjelaskan ia sememangnya dimahukan oleh kedua-dua belah pihak bagi meraikan keluarga dan teman rapat sahaja.
Bagaimanapun pada majlis resepsi di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 31 Oktober depan, mereka akan mengundang lebih ramai tetamu termasuk beberapa artis untuk menyanyi di majlis mereka.
Akhil hanya mampu berdoa dan berharap agar pernikahannya dengan Waheeda akan menghapuskan segala kata-kata nista dan cercaan orang terhadap diri mereka berdua.
Apa yang dimahukan agar masyarakat memandangnya dari sudut positif dan menghentikan segala kisah buruk yang mahu disimpan rapi dalam diari hidupnya.
"Setidak-tidaknya ia melenyapkan spekulasi yang mengatakan kami ini sudah mendirikan rumah tangga sebelum ini. Jadi, pernikahan kami ini menjadi saksi bahawa kami tidak pernah bernikah sebelum ini," katanya penuh berhemah.
Namun begitu, Akhil tetap dengan pendiriannya untuk berahsia bilakah bibit cintanya mula berputik dengan Waheeda sekali gus melamar wanita itu untuk menjadi suri hidupnya.
"Pada saya, itu adalah satu yang privasi dan tidak harus dibincangkan kepada umum kerana ia merupakan satu perasaan dalaman.
"Saya bersyukur kerana ditemukan dengan Waheeda dan sekarang adalah tanggungjawab saya untuk membimbingnya menjadi seorang isteri solehah," ujar hos rancangan Cafe Akhil Hayy yang ditayangkan di saluran Oasis (saluran 106, Astro) itu.
Akhil yang juga bekas penyanyi rock itu mahu Waheeda menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga dan menjaga anak-anak mereka.
Sementara itu, Waheeda ketika dihubungi pula berkata, dia tidak mahu ambil peduli dengan pandangan negatif masyarakat terhadapnya.
Jelasnya, dia kini mempunyai kehidupan baru dan banyak lagi perkara penting untuk difikirkannya daripada memikirkan tentang kata-kata orang terhadap dirinya dan Akhil.
"Kalau orang di luar sana mahu terus cakap kami berdua menipu, itu terpulanglah pada pandangan masing-masing. Saya sudah tidak kisah dan tidak mahu membebankan fikiran dengan benda yang tidak berfaedah.
"Saya menganggap pernikahan ini sebagai satu rahmat besar Allah buat kami kerana secara tidak langsung, ia telah merapatkan lagi hubungan serta jalinan ukhuwah sesama keluarga yang renggang selama ini.
"Tiada lebih yang saya minta melainkan berdoa dan berharap agar perkahwinan ini direstui dan dirahmati oleh Allah SWT," jelas penyanyi lagu Wassini ini dalam nada ceria.
Menyentuh mengenai anak, ujar Waheeda, dia mahu memiliki zuriatnya sendiri bersama Akhil dan sudah bersedia sepenuhnya untuk menjadi seorang ibu memandangkan dia sudah bersara sepenuhnya menjadi seorang artis.
Ditanya pula tentang perasaan cintanya terhadap Akhil, dia memberitahu perasaan itu baru timbul dalam dirinya dan kini dia meniti fasa percintaan dengan lelaki idamannya itu biarpun dakwaan mengatakan mereka sudah lama bercinta.
"Kami memang saling mengambil berat antara satu sama lain sebagai seorang sahabat sebelum ini dan kerana itu jugalah, persahabatan kami dipandang serong oleh sesetengah pihak.
"Jadi, kalau selepas ini ada lagi pihak yang masih mahu memperkatakan tentang hubungan kami, saya rasa tidaklah perlu berbuat demikian lagi. Doakanlah sahaja kebahagiaan kami kerana itulah yang terbaik untuk semua pihak," tuturnya penuh harapan.